Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke-23, YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif SSM bagi tahun 2025 pada 15 April 2025.
Inisiatif-inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan ekosistem perniagaan negara, meningkatkan tahap pematuhan korporat serta mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Inisiatif pertama ialah pengenalan perkhidmatan e-Advertisement SSM berdasarkan Seksyen 76A Akta Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024. Melalui inisiatif ini, PLT yang ingin melaksanakan penggulungan secara sukarela kini boleh menyiarkan iklan melalui portal rasmi SSM dengan bayaran hanya RM500.
Inisiatif kedua merupakan penawaran pengurangan kompaun sehingga 95% daripada nilai asal dan pengurangan fi e-Advertisement SSM kepada RM100 bagi PLT yang layak, tertakluk kepada permohonan yang dikemukakan sebelum atau pada 30 September 2025. Inisiatif ini khusus bagi permohonan penggulungan sukarela di bawah Seksyen 50 Akta PLT 2012, melibatkan PLT yang tidak lagi beroperasi dan telah dikenakan kompaun atas ketidakpatuhan seperti kegagalan menyerah simpan Perakuan Tahunan.
Inisiatif ketiga melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 1965 atau 2016 serta Akta PLT 2012 yang ditawarkan sehingga 30 September 2025.
Inisiatif keempat SSM merupakan penawaran pengurangan kompaun sebanyak 95% daripada nilai asal kepada syarikat yang layak untuk memohon pemotongan nama di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016. Syarikat yang tidak lagi beroperasi atau tidak berhasrat meneruskan perniagaan dan telah dikenakan kompaun atas kegagalan menyerah simpan Penyata Tahunan, Penyata Kewangan atau ketidakpatuhan lain, kini boleh tampil secara sukarela untuk memohon pemotongan nama dari daftar SSM. Tawaran ini juga terbuka sehingga 30 September 2025.
Di samping inisiatif-inisiatif bagi tahun 2025, SSM juga akan meneruskan pelaksanaan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini selari dengan usaha pemerkasaan komuniti perniagaan di Malaysia.
Bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam bidang keusahawanan, SSM akan meneruskan pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang membolehkan pengecualian fi pendaftaran bagi tahun pertama kepada usahawan daripada kumpulan B40, pelajar sepenuh masa institusi pengajian tinggi serta pasangan kepada usahawan B40.
Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) turut diteruskan dengan menawarkan pengecualian fi pendaftaran dan pembaharuan perniagaan bagi memberi peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menceburi bidang perniagaan secara sah di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif yang diumumkan, sila layari pautan
berikut atau rujuk soalan-soalan Lazim (FAQ) di pautan
ini bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
16 APRIL 2025