Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin memaklumkan bahawa Corporate Registry System (CRS) kini telah kembali beroperasi dan terus dipantau secara rapi bagi memastikan prestasi sistem semakin stabil serta penyampaian perkhidmatan yang lebih lancar kepada semua pengguna.
Sejak sistem kembali beroperasi, pasukan teknikal SSM bersama pembangun sistem yang dilantik terus melaksanakan pemantauan, penambahbaikan dan pengoptimuman sistem secara berterusan bagi meningkatkan kestabilan, prestasi serta pengalaman pengguna.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kestabilan dan prestasi sistem, CRS akan menjalani penyelenggaraan berjadual setiap hari dari jam 10.00 malam hingga 6.00 pagi, bermula 17 Julai 2026 hingga 2 Ogos 2026. Sepanjang tempoh tersebut, sistem akan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan teknikal dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal. Sehubungan itu, pengguna disarankan untuk merancang dan melaksanakan urusan melalui CRS di luar waktu penyelenggaraan tersebut.
SSM amat menghargai segala pandangan dan maklum balas yang diterima daripada pengguna. Setiap pandangan dan maklum balas yang dikemukakan akan terus diteliti serta dijadikan asas dalam usaha menambah baik sistem dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan.
Langkah-Langkah Yang Telah dan Sedang Dilaksanakan Oleh SSM:
- Pengecualian Fi Lewat Serah Simpan Melalui CRS
Bagi membantu pengguna yang terjejas sepanjang tempoh peralihan kepada CRS, SSM memberikan pengecualian fi lewat serah simpan secara automatik bagi dokumen yang difailkan melalui CRS dalam tempoh 14 Julai 2026 hingga 30 September 2026. Tiada permohonan diperlukan untuk menikmati pengecualian ini.
- Pengecualian Fi Lewat Serah Simpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan Melalui MBRS
SSM turut memberikan pengecualian fi lewat serah simpan bagi Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan yang difailkan melalui Malaysian Business Reporting System (MBRS 2.0) dalam tempoh 1 Julai 2026 hingga 31 Ogos 2026, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
- Pelanjutan Tempoh Serah Simpan Pendaftaran Gadaian
Tempoh serah simpan bagi pendaftaran gadaian melalui CRS turut dilanjutkan berikutan penutupan sistem MyCoID dan CRS bagi memastikan pengguna mempunyai tempoh yang mencukupi untuk melaksanakan urusan pemfailan.
- FAQ dan Manual Pengguna CRS Dikemas Kini Secara Berterusan
Bagi membantu pengguna melaksanakan urusan melalui CRS dengan lebih mudah, Soalan Lazim (FAQ) dan Manual Pengguna CRS sentiasa dikemas kini berdasarkan isu, pertanyaan serta maklum balas yang diterima daripada pelanggan. Pengguna boleh mengakses FAQ dan Manual Pengguna yang terkini melalui Tab Khas CRS di portal rasmi SSM di www.ssm.com.my.
Bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini, SSM menyediakan pelbagai bahan rujukan yang sentiasa dikemas kini melalui
Tab Khas CRS di portal rasmi SSM.
* Soalan Lazim (FAQ) CRS
* Manual Pengguna CRS
* Pengumuman dan makluman terkini
* Pautan kepada perkhidmatan CRS
* Maklumat Terkini
SSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan sokongan berterusan semua pengguna sepanjang tempoh penstabilan sistem.
SSM akan terus mendengar, menambah baik dan berkongsi perkembangan pelaksanaan CRS secara telus dari semasa ke semasa. Segala pandangan dan maklum balas yang diterima amat dihargai dan menjadi panduan penting dalam usaha kami memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada seluruh komuniti perniagaan.
SSM kekal komited untuk memastikan CRS terus dipertingkatkan bagi menyediakan perkhidmatan korporat digital yang lebih stabil, cekap, selamat dan mesra pengguna demi memenuhi keperluan komuniti perniagaan di Malaysia.